Tuesday, March 15, 2011

ANWAR TEGUR NIK AZIZ HARAM SEMUA PERJUDIAN



PAS, PKR, DAP adakan perbincangan Khamis

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung pendiriannya mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak sekutunya DAP supaya menarik balik pengharaman berkenaan.
Anwar berkata, sepatutnya kerajaan Kelantan berbincang bersama dengan pemimpin parti lain sebelum melakukan sebarang perubahan dari segi undang-undang, peraturan atau pelaksanaan undang-undang di negeri itu.

"Saya percaya ini akan memberi gambaran tepat sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan suasana atau disalah tafsir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangkang di Parlimen di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tetap tidak berganjak dengan keputusan mengharamkan perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak supaya pengharamannya ditarik semula.

Berikutan pengharaman itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan Kelantan.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau menyambut baik kesediaan PAS untuk berbincang bersama PKR dan DAP berhubung pengharaman segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan, selewat-lewatnya Khamis ini.

“Lokasi perbincangan itu masih belum ditetapkan sama ada di Kedah atau Kelantan,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR itu berkata, antara yang terbabit dalam perbincangan itu nanti termasuk Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

- SUMBER BERITA HARIAN-


 

Tuesday, February 22, 2011

CINTAILAH BAHASA MELAYU, BAHASA KEBANGSAAN KITA

 

Isu DAP Letak Papan Tanda Pelbagai Bahasa

KUALA LUMPUR 22 Nov. Rakyat Pulau Pinang diminta bertindak tegas membantah langkah kerajaan negeri itu yang berdegil dan mahu meneruskan cadangan untuk menamakan jalan pada papan tanda dalam bahasa lain selain bahasa Melayu.

Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, sudah tiba masanya rakyat di negeri itu bersatu serta menunjukkan kejantanan sebenar dalam isu tersebut.


Tindakan kerajaan Pulau Pinang disifatkan degil dan tanggungjawab kini terletak di tangan rakyat negeri itu sendiri untuk menentangnya.

Kedaulatan bahasa Melayu seharusnya sentiasa diangkat dan pertukaran kepada bahasa lain pada papan tanda sebenarnya tidak membawa maksud apa- apa, katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang meneruskan cadangan untuk menamakan jalan pada papan tanda dalam satu bahasa lain di samping bahasa Melayu bagi mempromosikan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.

Jelas Guan Eng, nama jalan itu akan ditulis sama ada dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Arab dan jawi, manakala dalam bahasa Melayu tetap dikekalkan sebagai menghormati ia sebagai bahasa kebangsaan.

Berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Sementara itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menyebut bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi kecuali bagi perkara yang tertakluk kepada perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Akta untuk penggunaan bahasa Melayu itu juga tertakluk kepada dokumen rasmi termasuk risalah promosi pelancongan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Mengulas isu yang sama, pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, rakyat negeri itu kini diberi pilihan untuk menyokong kerajaan mereka atau sebaliknya.

Rakyat boleh memprotes jika tidak suka, namun semuanya terpulang dan itu pilihan mereka sendiri, ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu berhajat untuk mengguris hati orang Melayu. Tegasnya, cadangan itu dilihat cubaan provokasi dan menunjukkan keangkuhan sebenar kerajaan Pulau Pinang. Mereka sengaja meneruskan cadangan papan tanda itu untuk mengguris orang Melayu. Kerajaan Pulau Pinang angkuh dan sebenarnya tiada masalah jika mereka membatalkan sahaja rancangan papan tanda pelbagai bahasa itu, katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Safar Hashim berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu disifatkan cuba mendaulatkan bahasa lain selain bahasa Melayu. Kita tidak tahu apa tujuan mereka meneruskan cadangan itu, namun ia dilihat usaha untuk mendaulatkan bahasa lain, ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk memasang papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

- SUMBER BERITA HARIAN -

Wednesday, February 16, 2011

KARPAL TAK LAYAK CABAR DR M



Pengerusi DAP dibidas sembunyi bukti kes liwat Anwar pada 1997

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh dicabar memberi penjelasan berhubung pertuduhan liwat dihadapi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dulu sebelum mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nama pemimpin pembangkang ditemui sebelum Operasi Lalang 1987.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, berkata Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor perlu mendapatkan penjelasan Anwar berhubung peranannya ketika operasi itu.
“Karpal perlu mendapatkan penjelasan anak guamnya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat berhubung Operasi Lalang kerana pada masa itu Anwar menteri kanan dan menyokong kuat operasi berkenaan.

“Malah Anwar tidak membela beberapa sahabat baiknya yang ditahan ketika operasi itu. Saya juga cabar Karpal beri penjelasan kes liwat Anwar kerana pada tahun 1997 beliau mendedahkan mempunyai bukti berhubung perkara itu.

“Tapi sekarang beliau pula yang membela Anwar, jadi bagi saya orang ini (Karpal) tidak layak sama sekali untuk mencabar Dr Mahathir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Karpal sebelum ini mempertikai pendedahan Dr Mahathir bahawa beliau bertemu dengan pemimpin pembangkang pada 1987 bagi meyakinkan kumpulan berkenaan mereka tidak akan ditahan dalam Operasi Lalang.
Sementara itu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata Karpal adalah individu yang tidak mempunyai kredibiliti untuk mencabar bekas Perdana Menteri berhubung Operasi Lalang.

“Karpal menghadapi masalah kredibiliti sebagai seorang peguam dan sebagai ahli politik veteran akibat watak dua alam beliau berhubung pertuduhan kesalahan liwat terhadap Anwar,” katanya.

Zahrain menyifatkan Karpal sebagai Harimau Jelutong yang dayus dan mula melarikan diri daripada kenyataan apabila enggan mendedahkan perkara sebenar berhubung kes liwat Anwar.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau antara pemimpin pembangkang yang bertemu Dr Mahathir sebelum Operasi Lalang 1987 dan mendakwa pertemuan itu tidak pernah diadakan.

Katanya, tidak ada sebab pemimpin pembangkang harus menyembunyikan pertemuan itu kerana ia boleh menjadi sebagai alasan untuk membantah penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

-  sumber BERITA HARIAN -

Saturday, February 12, 2011

AWAS VALENTINE'S DAY



Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang
sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine¡¦s Day atau Hari Memperingati Kekasih dilihat
sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka
pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik
dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga
ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat
sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk
membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.
Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari sambutan Hari
Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu adalah penting untuk kita
semua menyelami sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi
kita yang hanyut dalam lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama
Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam mahupun
masyarakat Melayu malah hukum menyambutnya adalah haram.

SELAMAT DATANG

Hai...

Terima kasih kerana melawat KERIS EMAS BLOGSPOT.